Kita bersatu kerana jiwa bersama从心开始

Foto Saya
Sintok, Kedah, Malaysia
读我 。一个。如果。。。 Mencari sinar kasih suci, tetapi disini terus menanti. Percaya cinta tiada ganti...

8/14/2010

BURUH ASING


Buruh asing terbahagi kepada buruh yang dating dengan izin, iaitu dengan menggunakan dokumen yang sah dan buruh asing yang dating ke Negara ini tanpa izin iaitu tanpa dokumen yang sah. Kedatangan buruh asing semakin ketara pada tahun 1980-an. Kebanjiran buruh asing sama ada secara sah atau pun haram memberikan impak kepada pembangunan sosioekonomi Negara.

Faktor-faktor kemasukan buruh asing
(Faktor tarikan dalam Negara)

Permintaan buruh tidak mahir yang tinggi merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Permintaan tinggi datangnya dari sektor perladangan dan pembinaan. Menurut kajian Persatuan Bersatu Malaysia (UPAM), sektor perladangan kelapa sawit dan getah mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM370juta antara tahun 1980 hingga 1985 disebabkan kekurangan pekerja. Sektor pembinaan juga menawarkan peluang pekerjaan yang banyak rentetan daripada pembangunan pesat Negara. Rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja di dalam sektor pertanian dan pembinaan menyebabkan kerajaan terpaksa membuka peluang kemasukan buruh asing ke Malaysia.

Kestabilan ekonomi Negara juga merupakan salah satu faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Pertumbuhan ekonomi yang pesat dan melebihi 8% untuk lapan tahun berturut-turut didorong antara lain kepesatan bidang ekonomi berkaitan dengan perindustrian, perladangan dan perkhidmatan. Tenaga buruh amat diperlukan di Malaysia. Hingga Mac 1993, seramai 444000 orang buruh asing telah masuk ke Malaysia. Sementara itu, seramai 886000 buruh asing telah masuk ke Malaysia secara tidak sah antara bulan Jun 1991 hingga September 1994.

Selain itu, kadar upah yang tinggi di Malaysia juga merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Di Negara asal pekerja asing, penawaran buruh melebihi permintaan. Keadaan ini menyebabkan upah yang lebih rendah. Contohnya, di Indonesia, pekerja ladang dibayar 2000 rupiah, iaitu lebih kurang RM3 sehari. Kos hidup yang tinggi menyebabkan pendapatan mereka tidak mencukupi dan seterusnya mendorong mereka berhijrah ke Malaysia yang menjanjikan pembayaran upah yang lebih tinggi.

Faktor lain ialah dasar kerajaan terhadap pekerja asing juga merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Kerajaan turut membenarkan kemasukan sesetengah pekerja asing ke Malaysia untuk bekerja dalam bidang-bidang tertentu. Perkembangan ekonomi yang pesat menyebabkan permintaan buruh terpaksa dipenuhi untuk meneruskan aktiviti perekonomian dan mengelakkan kerugian dalam sektor-sektor tertentu. Pada bulan Mei 1984, kerajaan menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Indonesia tentang penawaran tenaga kerja dengan had tempoh bekerja selama dua tahun.

Tambahan pula, keperluan negara juga merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Permintaan ke atas tenaga buruh mahir masih tinggi di Malaysia akibat keperluan kepakaran dalam bidang teknologi, perubatan, teknologi maklumat, ekonomi dan sebagainya. Keperluan mereka diperlukan untuk membolehkan rakyat tempatan menimba pengalaman, pengetahuan dan membantu pembangunan Negara dalam menuju era globalisasi.

Latar belakang sejarah dan budaya yang hampir serupa juga merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Latar belakang sejarah, budaya, agama dan bahasa yang hampir sama menjadi tarikan kerana mereka mudah berkomunikasi dan berasa seakan-akan berada di Negara mereka sendiri.

Akhir sekali ialah sikap majikan dan pengusaha juga merupakan faktor tarikan kemasukan buruh asing dalam negara. Golongan ini kebanyakannya lebih berminat mengupah buruh asing yang lebih murah dari Indonesia, Filipina dan Thailand. Majikan tidak perlu mengeluarkan wang untuk membayar KWSP dan insurans, ganti rugi atau pampasan kerana pekerja asing tidak diperuntukkan di bawah Akta Buruh. Pekerja asing yang tidak berdaftar juga tidak akan membuat aduan kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa. Majikan juga boleh memberhentikan mereka pada bila-bila masa.

(Faktor tolakan- luar Negara)

Faktor tolakan buruh asing di luar negara ialah kekurangan peluang pekerjaan di Negara asal. Keadaan ini menyebabkan penduduk berhijrah ke Malaysia yang menjanjikan peluang pekerjaan. Contohnya, di Pulau Jawa Indonesia, kekurangan peluang pekerjaan dalam sektor pertanian akibat kekurangan tanah menyebabkan ramai penduduknya menganggur.

Kadar upah yang rendah di Negara asal juga menjadi faktor tolakan buruh asing di luar negara. Kadar upah di Negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina lebih rendah berbanding Malaysia. Di Indonesia, pekerja ladang memperolehi RM3.00 sehari, buruh binaan mendapat RM5.00 sehari dan petani sawah menerima RM0.80 sehari. Di Malaysia, gaji permulaan pekerja ladang ialah RM6.00 sehari manakala buruh binaan menerima RM13.00 sehari. Keadaan ini mendorong mereka masuk ke Malaysia.

Malah, faktor tolakan buruh asing di luar negara ialah kemiskinan di Negara asal mereka. Penduduk di Negara seperti Myanmar, Indonesia, India dan Bangladesh mengalami kebuluran akibat kemusnahan bahan makanan oleh bencana alam atau tiada punca pendapatan serta kekurangan kemudahan infrastruktur. Keadaan ini mendorong mereka meninggalkan Negara mereka.

Selain itu, mudah datang ke Malaysia juga merupakan faktor tolakan buruh asing di luar negara. Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai perairan yang panjang dan sukar untuk dikawal rapi menyebabkan pendatang mudah memasuki Malaysia. Pendatang-pendatang dari Negara-negara jiran seperti Indonesia, Filipina dan Thailand hanya perlu menggunakan bot-bot yang kecil atau melalui jalan darat untuk sampai ke negara ini. Peranan orang tengah dan sindiket haram yang menguruskan dari segi keperluan hingga mendapat pekerjaan membantu peningkatan kedatangan golongan ini. Bayaran menggunakan perkhidmatan haram untuk masuk ke negara ini adalah murah iaitu antara Rp100000 hingga Rp150000 atau bersamaan RM160.00 hingga RM240.00 berbanding secara sah yang mencapai Rp250000 atau RM400.00 di samping memerlukan urusan yang rumit.


Masalah-masalah yang dihadapi
(Dari segi politik)

Masalah dari segi politik yang dihadapi ialah kawalan kemasukan. Kawalan yang rapi belum menunjukkan hasil kerana setiap tahun kemasukan buruh asing tidak berdaftar semakin meningkat. Pada akhir tahun 1992 sahaja, terdapat 374205 buruh asing tidak berdaftar. Daripada jumlah itu, 335000 dari Indonesia, 24830 dari Thailand, 19886 dari Bangladesh, 11235 dari Myanmar dan 16746 dari India. Menjelang bulan Mac 1993, jumlah pendatang tidak berdaftar adalah seramai 444000 orang. Bilangan Pegawai Jabatan Imigresen sangat kecil berbanding tugas dan tanggungjawab yang sangat berat. Kemasukan pendatang ke negara ini memberi imej buruk terhadap kawalan sempadan negara ini yang dikatakan longgar.

Seterusnya, masalah dari segi politik yang dihadapi ialah hubungan diplomatik. Hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan negara asal pendatang menjadi tegang semasa mengendalikan penghantaran pulang pendatang ke negara asal mereka. Sekiranya berlaku masalah diskriminasi terhadap pekerja asing oleh pihak yang tidak bertangguungjawab, keadaan ini boleh menjejaskan hubungan politik antara negara-negara.

(Dari segi ekonomi)

Masalah dari segi ekonomi yang dihadapi ialah menambahkan perbelanjaan kerajaan. Perbelanjaan negara bertambah akibat menanggung kos semasa penahanan sementara dan semasa penghantaran pulang. Pembinaan pos-pos yang lebih banyak terpaksa dilakukan di sempadan dan perairan Malaysia. Pendatang asing turut menggunakan perkhidmatan awam seperti kemudahan kesihatan dan pendidikan di negara ini.

Di samping itu, masalah dari segi ekonomi yang dihadapi ialah imbangan pembayaran negara terjejas. Pendatang asing yang bekerja di negara ini, khususnya yang tidak berdaftar, tidak membayar cukai pendapatan. Mereka dapat menghantar sepenuhnya pendapatan mereka ke negara asal mereka. Keadaan ini menyebabkan pengaliran mata wang negara ke negara luar tanpa kawalan dan seterusnya menjejaskan imbangan pembayaran negara.

Tambahan pula, pendapatan negara berkurangan juga merupakan masalah dari segi ekonomi. Pendatangan asing turut menjalankan kegiatan-kegiatan penyeludupan seperti rokok untuk dijual di negara ini. Keadaan menyebabkan kerajaan tidak dapat memperolehi hasil daripada cukai barangan tersebut di samping tidak memperolehi pendapatan ke atas cukai pendapatan buruh asing.

(Dari segi sosial)

Jenayah merupakan masalah dari segi sosial. Di samping datang untuk bekerja, ramai buruh asing turut menjalankan kegiatan jenayah seperti pelacuran, rompakan, perjudian dan sebagainya. Ketegangan dan pergaduhan juga berlaku dalam kalangan mereka di samping konflik dengan penduduk tempatan yang memandang seorang terhadap pendatang-pendatang tersebut.

Masalah dari segi sosial yang dihadapi ialah wujud penempatan haram. Buruh-buruh asing membina kediaman di kawasan larangan seperti di kawasan setinggan dan tanah-tanah simpanan kerajaan untuk menjimatkan kos hidup. Keadaan ini mengganggu proses rancangan kerajaan untuk menyusun semula petempatan dsn pembangunan masyarakat.Sikap suka membuang sampah dan membuang najis di sungai-sungai menyebabkan pencemaran dan merebaknya penyakit-penyakit seperti taun,kolera dan sebagainya.

Masalah kesihatan juga merupakan masalah dari segi sosial. Buruh asing yang datang ke negara ini kebanyakannya berasal dari kawasan terpencil di negara mereka. kebanyakan mereka membawa bersama penyakit-penyakit berbahaya seperti malaria, TB, kusta dan sebagainya. Statistik menunjukkan bahawa ramai daripada mereka merupakan pembawa HIV dan Hepatitis. Hubungan mereka secara seksual dengan pelacur tempatan turut mempercepat merebaknya penyakit tersebut.

Kesan-kesan positif kedatangan buruh asing


Kesan positif kedatangan buruh asing ialah mengisi kekosongan tenaga buruh. Sektor pembinaan dan perkilangan mengalami kekurangan buruh kerana tidak diminati oleh penduduk tempatan. Kini, kekosongan itu diisi oleh buruh asing yang sanggup bekerja dengan upah yang rendah.

Selain itu, mengelakkan kenaikan kos buruh juga merupakan kesan positif kedatangan buruh asing. Kemasukan buruh asing menyebabkan penawaran tenaga buruh bertambah. Keadaan ini mengelakkan kos buruh meningkat kerana permintaan buruh diimbangi dengan kemasukan buruh asing. Kos buruh yang pada umumnya murah menarik pelabur datang ke Malaysia. Keadaan ini seterusnya membantu meningkatkan ekonomi negara.

Tambahan pula, kesan positif kedatangan buruh asing ialah meningkatkan perkhidmatan awam. Untuk mengelakkan kebergantungan terhadap buruh asing, kerajaan mencari alternatif lain. Di antaranya ialah memperkenalkan sistem layan diri dan memperkenalkan teknologi moden dalam sektor-sektor tertentu supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga buruh. Pemalsuan dokumen menyebabkan kerajaan menyediakan peralatan yang lebih canggih bagi mengesan penipuan di samping mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan menutup kelemahan di dalam perkhidmatan awam.

Kesan-kesan negatif kedatangan buruh asing

Kesan negatif kedatangan buruh asing ialah mewujudkan persaingan dengan buruh tempatan. Kedatangan buruh asing telah menutup peluang pekerjaan penduduk tempatan. Sikap sesetengah majikan yang suka mengambil pekerja asing disebabkan upah yang rendah dan kesanggupan mereka bekerja dalam pelbagai situasi menyebabkan buruh tempatan sukar bersaing dengan buruh asing.


Selanjutnya, menambahkan perbelanjaan negara juga merupakan salah satu kesan negatif kedatangan buruh asing. Kos penahanan di pusat-pusat tahanan dan kos penghantaran pulang buruh asing terpaksa dibiayai oleh kerajaan. Kemudahan awam turut digunakan oleh buruh asing. Kos penyelenggaraan terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk pembangunan bagi menampung kos-kos ini. Kerajaan bukan sahaja terpaksa menanggung kos malah tidak mendapat pulangan dsri segi cukai pendapatan dan sebagainya. Malah ini menyebabkan pengaliran wang Malaysia ke negara luar tanpa dapat dikawal.

Masalah politik juga merupakan kesan negatif kedatangan buruh asing. Menambahkan bilangan masyarakat majmuk. Kemasukan mereka juga mencerminkan kelemahan sistem pentadbiran kerajaan. Wujudnya sindiket pemalsuan dokumen, pemalsuan kad pengenalan dan sebagainya boleh menggugat keselamatan negara.

Langkah-langkah mengatasi kemasukan buruh asing

Salah satu langkah mengatasi kemasukan buruh asing ialah penguatkuasaan undang-undang. Mengetatkan kawalan sempadan darat dan laut di samping mengenakan kompaun yang lebih berat ke atas majikan yang didapati mengupah buruh asing secara haram. Tindakan yang lebih tegas juga perlu ambil ke atas buruh haram dengan mengenakan hukuman penjara atau rotan.
Peranan penduduk tempatan juga merupakan langkah mengatasi kemasukan buruh asing. Penduduk tempatan harus melaporkan kepada pihak berkenaan sekiranya mendapati ada pendatang asing di kawasan mereka. Penduduk tempatan harus mengubah sikap dengan tidak memilih pekerjaan bagi memenuhi bidang pekerjaan di sektor pertanian dan pembinaan.

Sebagai kesimpulan, masalah pendatang tanpa izin tidak akan selesai selagi masyarakat negara ini masih mengamalkan budaya memilih kerja. Kaedah-kaedah perekonomian berintensifkan teknologi merupakan satu langkah jangka panjang yang berkesan untuk mengatasi masalah ini.


ditulis oleh DANNIE WONG CHYE YIN
no matrik: 206657

3 ulasan:

  1. thanks, ini sangat membantu saya.

    BalasPadam
  2. *thumbs up* terima kasih ats idea2 ini.. ^-^

    BalasPadam
  3. Thanks, it was very helpful... :)

    BalasPadam