Kita bersatu kerana jiwa bersama从心开始

Foto Saya
Sintok, Kedah, Malaysia
读我 。一个。如果。。。 Mencari sinar kasih suci, tetapi disini terus menanti. Percaya cinta tiada ganti...

8/18/2010

CETAK ROMPAK

     Kegiatan cetak rompak ialah kegiatan jenayah yang mengeluar,menjual dan mengedar keseluruhan atau sebahagian karya orang lain secara komersial serta telah melangar hak cipta karyawan terhasil-hasil. Dari tahun 2002 sehingga Januari tahun 2007,jumlah kes melibatkan cetak rompak yang telah didakwa ialah 33260 kes dan nilai barangan yang telah disita ialah RM265 juta. Statistik tersebut hanya merujuk kepada cetak rompak cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) tanpa mengambil kira kes cetak rompak barangan lain seperti cetak rompak buku,hak cipta,dan sebagainya. Sekiranya diteliti secara mandalam masalah ini,kita akan sedar bahawa fenomena cetak rompak bukanlah satu masalah yang mudah diatasi.

     Serbuan demi serbuan dilakukan ke atas penjual barangan cetak rompak tetapi masalah ini masih berleluasa. Kegiatan cetak rompak tidak berhenti malahan boleh dikatakan bertambah. Apakah yang menggalakkan berlakunya aktiviti merompak hak cipta orang lain? Jawapannya ialah sikap tamak. Sikap tamak merupakan sikap semula jadi manusia dan mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak biasanya merupakan orang yang tamak dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Mereka ingin mencari keuntungan dengan cara yang pantas dan mereka tidak mempedulikan perkara-perkara yang lain.

     Di samping itu,penguatkuasaan undang-undang yang longgar,iaitu hukuman yang dikenakan adalah ringan menyebabkan orang kaya ilmu dan modal sedih kerana kekayaan mereka dirompak. Misalnya,di bawah Akta Hak Cipta 1987,seorang pesalah boleh dikenakan denda minimum RM 2000 dan maksimum RM 20 000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Biasanya mereka tahu bahawa jika disabit kesalahan mereka hanya akan didenda. Maka,hukuman ini tidak memberi keinsafan kepada peniaga cetak rompak. Selain itu,pihak penguatkuasa kadang-kala juga terlibat dalam aktiviti rasuah. Oleh sebab itu,kegiatan cetak rompak terus berlaku.

    Antara sebab cetak rompak sukar dikawal ialah perbezaan harga antara barang asli dengan barang cetak rompak adalah besar. Harga barang cetak rompak adalah lebih murah daripada harga barang asli. Pembeli suka membeli barangan cetak rompak kerana harga lebih murah dan bukannya barang asli yang berharga mahal. Hal ini demikian kerana pengguna kurang berkemampuan dan bersikap ego. Mereka tidak mempedulikan kualiti barangan. Mereka menganggap barangan cetak rompak dan barangan asli adalah sama sahaja.Bayangkanlah harga sekeping cakera padat audio asli berharga RM 39 manakala harga cakera padat audio cetak rompak hanya berharga RM 5. Yang manakah akan menjadi pilihan? Perbezaan harga adalah lebih kurang 800%. Barangan cetak rompak boleh dijual dengan begitu murahnya sebab pengusaha cetak rompak hanya memerlukan modal yang sedikit untuk membeli alat-alat untuk digunakan dalam menghasilkan barangan cetak rompak. Oleh itu,sambutan baik menyebabkan perniagaan cetak rompak menjadi berleluasa.

    Aktiviti cetak rompak telah membawa kesan yang banyak terhadap negara kita. Salah satu kesan ialah kerajaan akan mengalami kerugian kerana tidak dapat mengenakan cukai ke atas barang cetak rompak kerana barangan tersebut adalah barangan haram. Di samping itu,pengusaha produk asli juga kurang berminat mengeluarkan barang asli kerana akan dikenakan cukai yang tinggi dan perlu bersaing dengan barangan cetak rompak. Tanpa cukai,kerajaan kita tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan projek pembangunan negara seperti pembinaan lebuh raya,jambatan,lapangan terbang,pelabuhan,sekolah dan sebagainya. Maka,Malaysia akan berada di tahap kemunduran dan ketinggalan zaman kerana tiada wang untuk pembangunan.

    Selain itu,ahli seni seperti penyanyi, pencipta,penulis buku menerima tamparan yang kuat akibat daripada kegiatan cetak rompak. Biasanya,golongan seni tidak mempunyai pendapatan tahunan yang tetap. Sumber kewangan mereka bergantung kepada komisyen yang diterima hasil penjualan karya seni mereka.Manakala pendapatan penyanyi bergantung kepada kutipan komisyen hasil penjualan CD atau VCD mereka. Dengan kewujudan kegiatan ini,ahli seni tidak mendapat ganjaran yang setimpal dibandingkan dengan usaha yang dicurahkan. Sebaliknya peniaga cetak rompak mencapai keuntungan yang lumayan. Hal ini akan melemahkan semangat ahli seni untuk melanjutkan penglibatan mereka dalam bidang kesenian dan memajukan persembahan mereka.

    Kegiatan cetak rompak juga membawa kesan terhadap Projek Koridor Raya Multi Media (MSC).Dr Mahathir Mohammad bertungkus lumus memulakan projek MSC untuk memajukan industri teknologi maklumat. Beliau mempelbagaikan ekonomi negara kita supaya tidak hanya bergantung kepada industri berat,ringan,kecil dan sederhana,dan pelancongan serta menubuhkan 2 bandar utama iaitu Putrajaya dan Cyberjaya.Malah,masalah cetak rompak telah mempengaruhi iklim pelaburan yang sihat di Malaysia. Pengusaha teknologi maklumat tidak hendak menanam modal di sini tanpa jaminan kerajaan. Ini telah menggagalkan hasrat Dr Mahathir Mohammad untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi maklumat serantau dan dunia.

    Apakah tindakan selanjutnya untuk membanteras gejala ini supaya tidak terus berleluasa seperti sekarang?Salah satu langkah untuk mengurangkan masalah ini ialah mengadakan kempen-kempen seperti kesan kegiatan cetak rompak terhadap negara. Kempen ini membolehkan pengguna mengetahui hak dan tanggungjawab mereka supaya tidak membeli barang-barang cetak rompak. Selain itu,pendidikan pengguna melalui seminar,bengkel dan pameran serta kempen jualan murah bagi barang-barang asli juga boleh diadakan untuk membanteras kegiatan cetak rompak.

     Langkah yang lain ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melaksanakan hukuman penjara mandatori terhadap mana-mana pengedar dan penjual cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak. Langkah yang teras ini adalah untuk membanteras gejala cetak rompak. Hal ini demikian kerana salah satu alasan aktiviti ini berterusan adalah kerana mereka tidak takut kepada pihak penguatkuasa atau undang-undang. Syarikat-syarikat yang terbabit mencetak dan mengedar cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) haram akan dikenakan denda maksimum RM 250 000 berbanding dengan keuntungan mereka yang bernilai berjuta-juta ringgit. Hukuman yang terlalu ringan adalah faktor utama kegiatan menjual barang haram itu masih berleluasa di negara ini. Jadi,langkah mengenakan hukuman penjara mandatori kemungkinan akan lebih berhasil berbanding dengan hanya mengenakan hukuman denda.

    Selain itu,pihak penguatkuasa boleh mempertingkatkan pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan di semua peringkat di seluruh negara. Bagi menentukan tiada penjualan barang-barang cetak rompak berlaku. Pihak penguatkuasa hendaklah mengawal kemasukan alat mencetak dari negara asing. Kerajaan hendaklah mewajibkan pengimport peralatan penyalinan didaftar dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri. Setiap peniaga juga perlu mendapatkan sijil berdaftar daripada Kementerian Dalam Negeri sebelum menjual sesuatu barang.

    Sememenangnya sukar untuk menyelesaikan masalah cetak rompak. Sekiranya semua pihak ingin menghapuskan kegiatan ini,kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat mesti menjadi keutamaan. Pengeluar,pembeli pihak penguatkuasa,dan pihak yang melaksanakan undang-undang harus bertindak tegas dan tidak teragak-agak semasa menjatuhkan hukuman kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak.


Ditulis oleh,
SOON LEE MING   206642

2 ulasan:

  1. Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Begitu juga dengan masalah cetak rompak, setiap masalah dapat diselesaikan dengan pelbagai langkah yang pragmatik. Salah satu langkah atau cara untuk mengatasi masalah cetak rompak ialah pihak kerajaan haruslah menguatkuasakan undang-undang berkaitan cetak rompak. Hal ini demikian kerana jika wujudnya undang-undang yang kuat, maka wujudlah hukuman yang berat, secara tidak langsung akan dapat menakutkan pesalah-pesalah. Perkara ini dapat membataskan kegiatan lanun cetak rompak kerana mereka takut akan undang-undang yang ketat dan dikuatkuasakan. Dengan terbatasnya kegiatan lanun cetak rompak, sudah tentu sesiapa yang ingin melakukan kegiatan ini akan berasa takut untuk melakukannya kerana terikat dengan undang-undang dan sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah cetak rompak. Dengan ini, jelaslah bahawa penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu cara untuk menangani gejala cetak rompak di negara kita.

    Cara seterusnya adalah melalui kerjasama pihak syarikat rakaman agar menurunkan harga bagi seunit cakera padat atau kaset kepada harga yang berpatutan. Hal ini demikian kerana tidak semua masyarakat mampu untuk membeli cakera padat terutamanya bagi harga yang berpuluhan ringgit seunit. Sekiranya syarikat rakaman menetapkan harga yang lebih rendah, tidak mustahil orang ramai akan memilih untuk membeli cakera padat yang asli.dengan penurunan harga cakera padat atau kaset. Saya percaya bahawa masyarakat akan membeli cakera padat atau kaset yang asli, seterusnya industri muzik di negara kita akan beroleh pulangan modal dan keuntungan yang sepatutnya. Jelaslah bahawa, dengan menurunkan harga seunit cakera padat atau kaset mampu sedikit sebanyak dalam membantu membendung masalah cetak rompak.

    Di samping itu, peranan masyarakat juga merupakan peranan yang terpenting dalam ‘melumpuhkan’ masalah cetak rompak. Hal ini demikian kerana masyarakat merupakan incividu yang menjadi punca wujudnya penjualan cakera padat bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendengar muzik dengan lebih puas selain mendengar muzik melalui media-media elektronik. Oleh itu, masyarakat seharusnya menyokong untuk membeli cakera padat atau kaset yang asli dan bukannya membeli cakera padat setak rompak. Sesungguhnya, tanpa peranan masyarakat, sudah tentu apa-apa sahaja yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan syarikat rakaman tidak akan tercapai. Masyarakat janganlah menjadi ‘mata kotak’ yang tidak tahu membezakan yang buruk atau baik. Oleh itu, masyarakat disarankan supaya tidak menyokong untuk membeli cakera padat cetak rompak.

    Berdasarkan huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa masalah cetak rompak seharusnya jangan kita inginkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ kerana masalah ini dapat mengundang kepada pelbagai perkara yang tidak baik malah menjadi ‘barah’ dalam industri muzik tanah air. Pelbagai pihak janganlah hanya mengemukakan cadangan untuk mengatasi masalah cetak rompak ini, tetapi hendaklah melakukannya dengan sebaik yang mungkin. Usaha daripada semua pihak amatlah diperlukan bukan sahaja untuk mengatasi masalah cetak rompak, malah untuk menjadikannya ‘sifar’ cetak rompak. Semua pihak adalah diharapkan agar bersama-sama atau bagai aur dengan tebing dalam usaha membanteras masalah cetak rompak yang semakin menular di negara kita. Oleh yang demikian, saya berharap agar semua pihak menyedari bahawa masalah cetak rompak ini akan terus melanda negara kita sekiranya tidak terus ditangani dari akar umbi. Jadikanlah industri muzik kita sebagai industri muzik yang ‘bersih’ daripada masalah cetak rompak. ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

    BalasPadam