Kita bersatu kerana jiwa bersama从心开始

Foto Saya
Sintok, Kedah, Malaysia
读我 。一个。如果。。。 Mencari sinar kasih suci, tetapi disini terus menanti. Percaya cinta tiada ganti...

8/16/2010

JENAYAH KE ATAS KANAK-KANAK

Kanak-kanak ialah seorang manusia yang masih belum baligh atau cukup umur.Di usia begini,akal dan fikiran mereka masih mentah.Mereka cepat terdedah dan terikut dengan apa yang mereka lihat,dengar dan alami.Jadi,tidak hairanlah jika mereka mudah menjadi mangsa kepada golongan yang tidak bertanggungjawab.Kes-kes jenayah ke atas kanak-kanak pada masa kini menunjukkan adanya perkembanagn yang sangat mencemaskan terhadap keselamatan sosial sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia secara amnya.




Kes-kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak pada masa kini antaranya ialah kes culik.Jenayah culik ini boleh dikatakan berlaku saban hari dan merupakan kes yang paling kerap berlaku di Malaysia dan di luar negara.Mengikut rangkaan UNICEF,setiap hari dianggarkan lebih 3000 kanak-kanak dari seluruh dunia diculik untuk tujuan yang tertentu.Ada di antara kanak-kanak malang tersebut dipaksa menjadi hamba seks,peminta sedekah,buruh kasar dan sebagainya.Ada juga dikalangan mereka yang diculik oleh sindiket-sindiket asing dibunuh hanya bertujuan untuk menjual organ-organ dalaman mereka seperti buah pinggang,jantung,hati dan sebagainya.



Seterusnya ialah kes rogol dan liwat.Oleh kerana sifat kanak-kanak yang masih naif dan tidak tahu mengecam pemangsa,golongan kanak-kanak perempuan dijadikan pemuas nafsu ganas golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.Lebih menyedihkan,ada di antara mereka menjadi mangsa kepada orang yang hampir dengan mereka iaitu saudara mereka sendiri seperti bapa,abang atau datuk.Namun,nasib kanak-kanak- lelaki juga dalam bahaya.Hal ini kerana mereka juga terdedah dengan jenayah liwat yang turut dilakukan lelaki-lelaki durjana.Keadaan ini amat membimbangkan seluruh masyarakat di dunia masa kini.



Manakala bagi kes jenayah yang seterusnya pula merupakan kes yang sering menjadi tajuk utama akhbar tempatan sejak akhir-akhir ini,iaitu kes penderaan.Sayu hati apabila melihat kes penderaan yang melibatkan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar kebelakangan ini.Apalah dosa mereka sehingga didera tanpa sekelumit perasaan belas kasihan.Lagi menyedihkan,sesetengah kes penderaan yang berlaku ke atas mereka dilakukan oleh kaum keluarga mereka sendiri.Namun,ada juga dari kalangan mereka didera oleh pembantu rumah warga asing ataupun pengasuh.Dalam masa yang sama,kanak-kanak juga terlibat dengan penderaan emosi yang lazimnya berlanjutan sehingga mereka dewasa.



Selain itu,kes jenayah yang paling dahsyat yang berlaku ke atas kanak-kanak ialah kes pembunuhan.Golongan kanak-kanak mudah terdedah dengan jenayah ini kerana mangsa adalah golongan yang lemah dan sudah tentu sukar untuk mereka melawan untuk mempertahankan diri daripada dicederakan.Mereka sekadar insan naif dan belum mengerti apa makna sesebuah kehidupan.Namun,masih terdapat lagi manusia yang bertopengkan syaitan yang sanggup memperlakukan kanak-kanak sebegitu rupa.Di manakah letaknya nilai kenmnusiaan yang sepatutnya ada dalam setiap makhluk ciptaan Tuhan yang bergelar manusia?Lebih mendukacitakan,kebanyakkan pembunuhan ke atas kanak-kanak dilakukan oleh orang dewasa yang kehilangan akal fikiran yang waras.



Di samping itu,buruh paksa juga boleh dikategorikan sebagai jenayah ke atas kanak-kanak.Jenayah ringan ini amat berleluasa di negara kita mahupun di negara asing.Desakan hidup dan kesempitan wang disebabkan sosioekonomi yang tidak stabil telah membuatkan golongan ini terpaksa membanting tulang dalam usia yang muda.Lazimnya,mereka diketuai oleh sindiket yang menjalankan aktiviti haram seperti ini.Lebih memeritkan,upah yang diterima tidak setimpal dengan kudrat yang mereka gunakan.Malah lebih dashyat lagi,mereka terpaksa bekerja tanpa berhenti dalam tempoh 24 jam.Keadaan ini telah membuka mata banyak pihak termasuk pihak kerajaan,swasta dan masyarakat.



Punca-punca berlakunya jenayah kanak-kanak yang pertamanya ialah sifat kanak-kanak.Secara semula jadi,kanak-kanak bersifat naif,kurang berakal dan mudah menurut kata.Keadaan ini yang menjadi pendorong kepada sebab mengapa kanak-kanak mudah menjadi mangsa kepada orang yang lebih dewasa darinya.Mereka tidak pandai membezakan antara baik dengan buruk serta tidak tahu mengenai kesan dan akibat yang bakal dihadapi jika berlakunya sesuatu perkara.Sebagai contoh,terdapat satu kes rogol dimana seorang kanak-kanak perempuan diumpan oleh seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab dengan hanya menggunakan sebiji gula-gula.Pendek kata,kanak-kanak merupakan sumber yang paling mudah didekati dan tidak mengancam pemangsa.



Kedua,kurang keberkesanan undang-undang juga merupakan antara punca berlakunya jenayah ke atas kanak- kanak.Ini boleh dianggap salah satu faktor kerana penjenayah pada hari ini sudah tidak takut kepada undang-undang.Mungkin kerana hukuman yang dikenakan kini kurang tegas menyebabkan mereka memandang ringan dan tidak gentar dengan hukuman yang dikenakan.Tambahan pula bagi mereka,sungguhpun disabitkan bersalah terhadap jenayah yang dilakukan,namun mereka akan 'hidup' semula selepas menjalani hukuman dan tidak salah dikatakan bahawa mereka pasti akan mengulanginya semula pada kemudian hari.



Punca yang ketiga pula ialah keghairahan media.Sama ada di kaca televisyen.VCD,akhbar harian.tabloid,majalah,novel,internet,iklan dan lain-lain secara terang dan tersembunyi memaparkan imej dan mesej seksual yang mudah didapati.Bahan-bahan ini dijual secara berleluasa dan amat laris seperti pisang goreng panas.Aksi perlakuan seks atau fidofilia inilah yang merangsang nafsu syahwat terutamanya golongan lelaki.Menurut kajian,hampir keseluruhan kes rogol yang berlaku adalah berpunca daripada keghairahan media yang memaparkan aksi-aksi lucah yang tidak senonoh yang boleh merangsang golongan lelaki.



Seterusnya,kelalaian dan kecuaian ibu bapa.Kebanyakkan kes jenayah ke atas kanak-kanak berlaku disebabkan oleh kecuaian ibu bapa kanak-kanak itu sendiri.Mereka cuai dan lalai ketika mengawasi anak-anak mereka seharian.Ada dikalangan ibu bapa yang tidak prihatin dengan keselamatan anak-anak mereka sehingga sanggup membiarkan anak mereka berseorangan kemana-mana sahaja tanpa ditemani oleh seseorang yang lebih dewasa.Sebagai contoh,kes kehilangan kanak-kanak lelaki yang berlaku di kompleks membeli-belah SOGO beberapa tahun yang lalu.Kejadian tersebut berlaku adalah disebabkan kelalaian ibu bapa kanak-kanak itu sendiri yang sedang leka membeli-belah sehingga terlupa untuk mengawasi anak sendiri.



Manakala langkah-langkah yang boleh diusahakan untuk menangani masalah ini ialah dengan menwujudkan satu bentuk hukuman yang berkesan.Pihak kerajaan haruslah melaksanakan hukuman yang lebih berat dan tegas serta berkesan.Hal ini kerana bentuk-bentuk hukuman yang sedia ada seperti penjara dan sebatan tidak lagi mendatangkan kesan kepada masyarakat.Masyarakat sudah tidak gentar terhadap hukuman yang sedia ada dan hukuman tersebut sudah tidak mendatangkan pengajaran kepada orang lain.Oleh itu,satu bentuk hukuman yang lebih tegas dan berat harus dilaksanakan agar penjenayah tidak lagi bertindak secara sesuka hati.



Di sampimg itu,keprihatinan yang lebih daripada ibu bapa amat diperlukan.Walau sesibuk manapun,ibu bapa seharusnya sedar bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka adalah lebih besar daripada segalanya.Ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa untuk anak-anak dan sentiasa memerhatikan gerak-geri mereka ketika berada di luar rumah.Hal ini karana ia merupakan satu langkah awal untuk membanteras jenayah ini.Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan peranan mereka kepada orang gaji khususnya kerana dalam pembentukan anak-anak,ibu bapa adalah yang paling sesuai untuk mereka.



Langkah yang seterusnya ialah keprihatinan daripada masyarakat.Masyarakat seharusnya peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling dan perlu mengikis sikap individualistik yang ada dalam diri masing-masing.Hal ini kerana sikap tidak ingin tahu dan tidak mengambil kisah tentang hal orang lain telah membuka pintu kepada jenayah keganasan terhadap kanak-kanak.Sebagai contoh,banyak kes penderaan yang berlaku sejak akhir-akhir ini adalah turut berpunca daripada sikap ketidakprihatinan masyarakat di negara kita.Akhirnya kanak-kanak tersebut meninggal dunia tanpa mendapat sebarang pertolongan daripada masyarakat sekelilingnya.



Kesan yang dihadapi oleh kanak-kanak akibat daripada jenayah ini adalah kesan terhadap psikologi.Kanak-kanak mungkin akan mengalami trauma yang teruk terutamanya kepada mereka yang menjadi mangsa kepada kes rogol dan kes dera.Emosi mereka akan terganggu dan mereka akan mula merubah sikap daripada yang sedia kala kepada seorang yang pendiam.Ada sesetengah di kalangan kanak-kanak yang mula memencilkan diri dan tidak suka bergaul dengan orang ramai.Keadaan ini memberikan kesan yang tidak baik terhadap proses tumbesaran mereka.



Seterusnya,kesan terhadap masa depan mereka.Masa depan amat penting bagi seorang kanak-kanak.Namun,bagi mereka yang menjadi mangsa rogol,kejadian hitam tersebut sedikit sebanyak boleh menjejaskan masa depan mereka.Cacian dan buah mulut orang sekeliling akan memberi kesan yang buruk terhadap kehidupan mereka.Tambahan pula,tanggapan yang negatif dan pandangan yang sinis daripada masyarakat sekitarnya akan mencemarkan nama baik dan imej kanak-kanak tersebut apabila mereka sudah dewasa kelak.Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tersebut hilang keyakinan diri dan menjejaskan masa depan mereka.



Kesimpulannya,kanak-kanak merupakan insan yang memerlukan perlindungan dan belaian kasih sayang daripada kita yang lebih dewasa darinya.Oleh itu,ibu bapa dan seluruh masyarakat haruslah sama-sama memikul tanggungjawab masing-masing dan bekerjasama dalam menangani masalah ini agar golongan kanak-kanak tidak dengan mudahnya dizalimi oleh sesiapa jua.Seterusnya,rumusan yang kukuh dan praktikal untuk membanteras jenayah ke atas kanak-kanak hendaklah segera dilancarkan jika kita semua mahu negara Malaysia menjadi negara yang selamat untuk generasi tunas buat masa hadapan.


Ditulis oleh,
YANG CHIN LIT 206640

1 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam